Sijil Khas Hortikultur Landskap
Sinopsis Program
Program Sijil Khas Hortikultur Landskap direka bentuk untuk menghasilkan graduan TVET
Pendidikan Khas yang mempunyai ilmu pengetahuan asas dan kemahiran yang tinggi dalam
memenuhi permintaan tenaga kerja sektor industri landskap. Struktur program ini merangkumi
komponen teknikal, pembangunan diri, teknologi dan kompetensi pekerjaan. Struktur program
ini merangkumi kursus teras disiplin antaranya Pengenalan Nurseri Tanaman Hiasan,
Pembiakan dan Pengeluaran Tanaman Hiasan, Pengenalan Pembinaan Landskap, Implementasi
Landskap, Pengenalan Penyelenggaraan Hortikultur Landskap, Penyelenggaraan Landskap
Lembut & Kejur serta Penyelenggaraan Peralatan dan Mesin Kecil. Pelajar diwajibkan
mengambil Kursus Pendidikan Islam/Moral, Asas Komunikasi, Kokurikulum dan Asas Keusahawanan.
Seterusnya, pelajar juga didedahkan dengan kursus teras disiplin iaitu Asas
Aplikasi Komputer dan pelajar boleh memilih kursus elektif iaitu Khidmat Komuniti atau
Penyelenggaraan Rumput Turf untuk meningkatkan kemahiran kendiri. Melalui kursus-kursus
yang ditawarkan ini, pelajar dapat membina kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan,
keusahawanan, bersikap profesional dan bersedia secara sukarela menyumbang kepada
masyarakat. Pelajar akan menjalani latihan industri pada semester akhir yang dapat memberi
pendedahan kepada dunia kerjaya yang sebenar. Latihan industri ini penting sebagai persediaan
untuk menjadi tenaga separa mahir yang diperlukan oleh industri pada masa akan datang.
Prospek Kerjaya
Program ini menyediakan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menjadi tenaga
kerja separuh mahir yang kompeten dalam bidang landskap. Antara pekerjaan yang berpotensi
adalah:
- Penyelia Operasi Nurseri
- Penyelia Penyelenggaraan Landskap
- Sub Kontraktor Pembinaan Landskap
- Usahawan Hortikultur Landskap
Syarat Kemasukan
Pelajar berkeperluan khas (Masalah Pembelajaran)
- Warganegara Malaysia
- Tamat Persekolahan Sekolah Menengah (17 tahun ke atas) atau mempunyai Sijil Khas (Tahap 2)
- Pemegang Kad OKU (Masalah Pembelajaran)
- Menguasai 3M (membaca, menulis & mengira) bagi pelajar masalah pembelajaran dan perlu menjalani proses saringan
kembali ke atas