Program TVET Berciri Advanced TVET In Higher Education
Penawaran Program Asasi Teknologi Kejuruteraan (dahulunya dikenali sebagai Asasi TVET) merupakan inisiatif strategik untuk memperluas akses pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat kelayakan, bagi mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, khususnya dalam bidang Ijazah Teknologi Kejuruteraan.
Program ini menyediakan landasan awal dan bersasar kepada pelajar yang menunjukkan minat dan kecenderungan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Pada pelaksanaan awal, sebanyak lima (5) buah politeknik telah dipilih sebagai perintis untuk pengambilan pertama pada Sesi I 2023/2024, dengan penglibatan seramai 500 pelajar sebagai kumpulan sulung.
Bagi memperluaskan lagi capaian dan impak program ini, sebanyak lima (5) institusi tambahan akan mula menawarkan Program Asasi Teknologi Kejuruteraan bermula Sesi I 2025/2026, menjadikan keseluruhan sebanyak sepuluh (10) institusi pelaksana di seluruh negara.
Kurikulum Program Asasi Teknologi Kejuruteraan direka bentuk dengan penekanan khusus kepada elemen amali dan praktikal, selaras dengan keperluan industri semasa. Fokus bidang yang ditawarkan dalam program ini juga disusun agar seiring dengan kehendak sektor pekerjaan dan perkembangan teknologi terkini.
Tempoh pengajian adalah selama satu (1) tahun atau dua (2) semester, dengan setiap semester berlangsung selama enam (6) bulan.
Semua maklumat yang dipaparkan adalah benar dan betul pada masa tarikh dan masa diterbitkan dan tertakluk kepada pindaan dari masa ke semasa. Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat dalam laman web ini.